Isnin, 30 Disember 2019

JUAL BENIH CILI, TOMATO DAN SAYUR

Salam,

Biji benih ada dijual di Anjel Agro Farm dengan harga yang berpatutan. Biji benih adalah berkualiti daripada keluaran Anjel Farm Kuching.

Terima kasih kerana membeli.



Jumaat, 27 Disember 2019

Anak Pokok Bunga Mawar Switzealand

Salam,

Hari ini hampir 4 bulan Pokok Bunga mawar Switzealand tumbuh dengan subur dan sihatnya. Seperti yang saya telah maklumkan dahulu, ada 23 batang yang saya tanam, tetapi hanya 4 batang pokok sahaja yang hidup dengan jayanya. Tak sabar pula rasanya untuk melihat pokok bunga ini berbunga.  Kalau dilihat pada gambar di bawah pokok Mawar ini cantikkan. Daunnya pula besar-besar.  Dalam fikiran ini warna apakah yang akan dihasilkan nanti? adakah warna Merah ke, Pink ke atau Kuning. Tak apalah dalam beberapa bulan kita akan tahu juga. Sabar ya wahai hati.  






Pautan Berkaitan



Sayur Kailan tumbuh subur dan sihat


Adakah anda pernah nampak sayur kailan ditanam sama ada di tanah atau dalam polibeg/pasu? Jika tidak, gambar di atas merupakan salah satu sayur kailan yang ditanam di Anjel Farm Kuching. 

Sebenarnya, saya tidak pernah nampak macam mana rupa sebenar pokok sayur kailan. Sehinggalah pada suatu hari, jiran sebelah rumah (makcik cina) meminta saya menjaga anak pokok sayur kailan ini disebabkan dia ke luar negeri dalam jangka masa yang lama. Dari situlah saya mendapat tahu bahawa Sayur kailan merupakan tanaman sayuran yang sangat popular di Negara Cina. Ia juga sering disebut brokoli cina. 

Sayur kailan ini mempunyai daun yang tebal, berwarna hijau dan berbatang tebal. Sayur ini biasanya dimasak dengan cara direbus dengan ditambahkan sos tiram. Seluruh bahagian sayur kailan ini dapat dimakan, mulai dari batang hingga ke daun.

Sayur kailan mempunyai banyak manfaat kerana mempunyai  nilai gizi yang paling tinggi seperti mineral, Vitamin B, Vitamin C, serat, kalsium, antioksidan, Zat besi dan beberapa kandungan lainnya. Oleh itu, rajin-rajinlah memakan sayur kailan ini. 

Gambar di bawah adalah hasil dari penjagaan saya selama 2 minggu. Jika dilihat sayur kailan ini tumbuh dengan subur dan sihat kan.








Jumaat, 20 Disember 2019

Peladang kesal cili Vietnam dominasi pasaran Malaysia



Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengumumkan tiada lagi pengimportan cili merah dari Vietnam sehingga hujung tahun ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Sebuah pertubuhan peladang menyuarakan rasa kesal terhadap sikap sesetengah pihak yang bertindak mengimport cili luar negara secara besar-besaran sehingga menjejaskan pendapatan petani tempatan.
Ahli Jemaah Pengarah (Peladang Muda) Pertubuhan Peladang Negeri Selangor, Izzat Lesly berkata situasi ini boleh membunuh peladang cili terutamanya golongan petani muda yang semakin giat membangunkan industri pertanian di negara ini.
Katanya, harga cili borong jatuh hampir setiap hari sehingga RM2.50 sekilo disebabkan berlakunya lambakan cili tempatan.
“Kejadian seperti ini telah berlaku beberapa kali dan kami khuatir dan risau ia akan merosakkan pasaran cili terutama kepada peladang-peladang,” katanya ketika dihubungi FMT.
Julai lalu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin mengumumkan tiada lagi pengimportan cili merah dari Vietnam sehingga hujung tahun ini.
Beliau dilaporkan berkata, kementerian itu melalui Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Pemeriksaan Malaysia (Maqis) sentiasa melakukan pemantauan berterusan dan pemeriksaan yang lebih teliti bagi sebarang produk pertanian, khususnya dari Vietnam.
Pengusaha kebun sayuran, Aliah Ali Musa berkata hasil tinjauannya bersama pemilik kebun yang lain mendapati masih terdapat beberapa pasar raya menjual cili merah dari Vietnam.
“Macam mana boleh lepas cili import Vietnam? Kadar racun masih tinggi.
“Kerajaan sudah sekat tapi masih ada yang jual lagi,” katanya sambil menunjukkan beberapa keping gambar jualan cili tersebut di pasaraya tempatan dengan harga yang rendah.
Mengakui harga jualan cili keluaran tempatan lebih tinggi berbanding sayuran import, Aliah menegaskan tanaman cili tempatan menggunakan baja organik bagi memastikan kualiti dan jaminan keselamatan pengguna.
Aliah juga berkata pemain utama industri pertanian tempatan adalah kecil, bagaimanapun mereka tidak dilindungi kerajaan dan agensi berkaitan.
“Pekebun semua tengah resah, tiada sesiapa pun dari kementerian boleh bantu kami.
“Dari dulu sampai sekarang, tak habis-habis isu permit import (AP) berleluasa,” katanya.
Seorang petugas Maqis yang enggan dinamakan mendakwa lori yang membawa masuk hasil pertanian dari Vietnam berjaya lolos ke dalam negara ini.
Katanya, kebanyakan produk pertanian seperti cili dan sayur-sayuran lain yang dibawa masuk itu boleh didapati di pasar borong, terutama Pasar Borong Selayang.
“Sejak bila embargo cili Vietnam kena tarik balik?
“Ada juga cili-cili ini (dari Vietnam) dapat masuk dari negara jiran, Thailand,” katanya kepada FMT.
Apabila ditanya bagaimana lori mengangkut cili tersebut boleh melepasi kawasan pemeriksaan Maqis, katanya dia tidak pasti kerana tidak bertugas di bahagian pemeriksaan dan kawalan.
Bagaimanapun, katanya, dia mengetahui tentang perkara itu selepas dimaklumkan kumpulan pekebun dan pemborong di pasar besar yang mengenalinya.
“Mereka hubungi saya dan mengadu tentang perkara ini.”
FMT sedang mendapatkan maklum balas Kementerian Pertanian dan Asas Tani berhubung perkara ini.

Buah Cili terkena Serangan Lalat Buah

Hari ini bermulalah aktiviti mengutip buah cili yang rosak akibat serangan Lalat Buah. Maklumlah cuaca yang tidak menentu (hampir 2 minggu hujan) sepanjang musim tengkujuh ini menyebabkan pokok cili mudah diserang Hama Lalat Buah. Bila dikumpul, terdapat banyak buah cili yang tekena serangan Lalat Buah ini. (Lihat Gambar 1). 

Di bawah ini saya ceritakan serba sedikit/ ringkasan tentang Lalat Buah hasil daripada sumber/bacaan rujukan. 

Lalat Buah (Fruit Fly) merupakan sejenis serangga perosak banyak tanaman seperti buah-buahan dan sayur-sayuran yang kesannya menyebabkan kerugian kepada para petani. Lalat Buah lazimnya akan aktif pada waktu pagi antara 8-10 pagi dan pada waktu petang antara pukul 5-7 petang bergantung kepada keadaan cuaca. Lalat buah menyerang dengan menyegat atau menyutik telur pada buah (Gambar 2). 

Kebiasannya serangan lalat buah terjadi pada buah cili yang masih hijau (muda). Gejala boleh dilihat pada tangkai buah, yang mana hujug buah ataupun bahagian tengah buah cili yang masih muda menguning (Gambar 3). Antara tanda serangan pada buah ialah buah kelihatan lebam, lembik dan berair. Jika diamati pada fizikal buah cili akan terdapat kesan seperti tusukan jarum pada bahagian luar buah.  

Cara mengatasi masalah ini, adalah dengan menyembur racun kulat secara rutin atau secara berjadual mengikut dos yang ditetapkan.

Di Anjel Agro Farm, selepas selesai aktiviti mengutip buah cili yang rosak, kebiasannya semburan racun kulat dilakukan pada waktu malam sekitar 7.00 petang dan cuaca tidak hujan. Dengan semburan ini, diharapkan pokok cili akan kembali sihat dan dijauhi dari serangan Lalat Buah ini.

Gambar 1

Gambar 2

Gambar 3

Bahagian dalam akibat serangan Lalat Buah


Sabtu, 30 November 2019

Anjel Farm Kuching Tahun 2018 & 2019

Syukur, banyak perubahan telah dilakukan ke atas Anjel Farm Kuching dari tahun 2018 ke tahun 2019. Berkat kesabaran dan kesungguhan dalam dunia perkebunan, akhirnya membuahkan hasil terutamanya pada tanaman pokok cili. Walaupun jumlah hanya 120 pokok tahun 2019, namun hasil yang diperolehi amat memuaskan dan ianya di luar jangkaan. Pelanggan pun semakin bertambah. 

Bila difikir balik, banyak cabaran dan rintangan telah dilalui sejak tahun tahun 2018, bermula daripada tiada pengalaman dan pengetahuan tentang hal-hal perkebunan, akhirnya banyak ilmu telah dipelajari sepanjang mengusahakan kebun kecil ini. 

Antara cabaran dan rintangan yang telah dihadapi ialah: Apabila tanaman diserang penyakit dan kita perlu memikiran cara untuk selesaikannya. Begitu juga apabila musim hujan/ribut datang melanda, sesetengah pokok cili terutamanaya akan tumbang disebabkan oleh sokongan pada pokok tidak kuat.  Anjel Farm Kuching juga tidak mempunyai peralatan automatik, semua dikendalikan secara manual dan keadaan ini amat memenatkan dari segi fizikal untuk sistem pembajaan dan air. Walaupun banyak cabaran dan rintangan datang melanda, sikap sabar dan tidak mudah berputus asa perlu teguh dalam diri sendiri. 

Oleh itu, diharapkan pada tahun depan (2020) Anjel Farm Kuching dapat beralih ke tahap/ teknologi yang lebih tinggi bagi memudahkan lagi aktiviti perkebunan. Sekian.







Khamis, 28 November 2019

Harga Cili Jatuh November 2019

Hari ini terkejut dapat berita dari kawan mengenai harga cili jatuh dari kebiasaannya. iaitu RM 3.00 untuk cili padi, RM 2.00 untuk Cili Besar. Terasa pula tempiasnya bila haga cili jatuh. Inilah risiko dalam pertanian. Bila disemak Harga Purata Cili Merah di Laman Web FAMA, rupa-rupanya memang betul harga cili jatuh bermula di peringkat Harga Ladang, Borang dan Runcit. Ini kerana Lambakan cili import di Lambah Kelang mengakibatkan harga borong lebih rendah. 

Bagi saya, kerajaan sepatutnya mengawal cili import dari luar negara. Bukan sahaja demi menjaga pekebun local/tempatan, tetapi juga untuk menjaga kesihatan pelanggan dan pengguna cili dari luar. Bukan apa, cili import ini kita tidak tahu bahan-bahan kimia dan bahan pengawet yang berkemungkinan merbahaya kepada kesihatan pengguna. Pengguna juga perlu memainkan peranan dengan tidak membeli cili import ini. Belilah cili tempatan kerana ianya sedikit sebanyak dapat membantu pengusaha cili tempatan yang sedia ada. 




Selasa, 26 November 2019

Hasil Cili Merah Besar memberangsangkan

Hari ini bermulalah kerja mengutip buah cili merah besar yang baru ditanam lebih kurang 3 bulan yang lepas. Cili Merah Sakata 461. Buahnya panjang iaitu 8-9 inchi dan beratnya sekitar 25-30gm. Hasilnya memang memberangsangkan jika ditanam dan dijaga dengan baik. Terasa usaha dan titik peluh selama ini membuahkan hasil walaupun hanya menggunakan kaedah manual. Buahnya cantik dan berkilat dan bebas daripada serangan penyakit. Lepas ini boleh dijual kepada pelanggan tetap Anjel Farm Kuching. 







Jumaat, 22 November 2019

Pokok Cili Burung

Salam, Ini adalah Pokok Cili Burung yang ditanam di Anjel Farm Kuching. Buahnya kecil dan pedas. Pokok ini berusia 8 bulan. Besar dan subur kan Pokok cili burung ini. Untuk pengetahuan anda, dalam polibeg besar ini, terdapat 4 dahan pokok Cili Burung. Buah cili ini memang sedap dimakan tetapi yang tidak bestnya ianya mengambil masa yang lama untuk dipetik.

Antara banyak-banyak Pokok cili di Kebun Anjel Farm, yang menjadi makanan sang Burung adalah Pokok Cili ini. Biasanya saya tidak petik sangat cili ini sebap kesian dengan burung-burung. Biarlah kami berkongsi Pokok cili ini janji dia tak makan cili yang lain. Omputih cakap "Sharing is Caring".









Info Mengenai Cili Padi/ Cili Burung

Cili Padi A - Pedas dan aroma cili kurang (ditanam)

Cili Padi B - Pedas dan aroma cili lebih sedikit dari Cili Padi A (ditanam)


Cili Burung 1 - Pedas dan aroma cili paling tinggi berbanding dari Cili Padi A dan B (ditanam)

Cili Burung 2 - Pedas dan aroma cili setanding Cili Burung 1 (hidup liar dikebun getah)

Cili Burung 3 - Pedas dan aroma cili setanding Cili Burung 1 & 2 (ditanam)



Rabu, 6 November 2019

Kebun selepas Aktiviti Penyelenggaraan.

Salam,

Hari ini saya paparkan dulu keadaan kebun yang saya telah buat penyelenggaraan semalam. Nampak sedap mata memandang. Masih subur lagi tanaman kebun saya. Tetapi ada sedikit rasa kecewa kerana malam tadi saya tidak melakukan kerja semburan pencegah serangga kerana keadaan hujan petang semalam. Apapun harap hari ini dapat lakukan aktiviti semburan itu nanti. 

Jom tengok hasil aktiviti semalam. Nampak bersih dan dah nampak berkurangan kan daun daun yang layu tu. Aktiviti penyelenggaraan ini amat penting. Seboleh bolehnya lakukan seminggu sekali. Nescaya pokok pokok kebun mini anda pasti bertambah sihat dan subur. Macam yang saya cakap dulu, kena jaga macam bayi.






Selasa, 5 November 2019

Aktiviti Penyelenggaraan Tanaman

Syukur, pagi ini cuaca amat baik sekali berbanding 2 atau 3 hari sebelum ini. So, mulalah saya menjenguk kebun  mini belakang rumah. Hati rasa sedikit sedih kerana ada anak pokok cili yang diserang penyakit. Pokok pokok cili lain pun nampak macam tidak sihat. Gara gara hujan kan.

Jadi, hari ini bermulalah aktiviti penyelenggaraan pokok pokok cili. Aktiviti ini adalah termasuk penyiraman, aktiviti pemangkasan iaitu membuang bahagian tumbuhan yang tidak dikehendaki dan berpenyakit, aktiviti merumput serta membuang daun yang telah layu dan mati.  Pokok cili dalam polibeg yang berpenyakit kena lupuskan juga kerana takut berjangkit pada pokok yang lain. Aktiviti penyelenggaraan ini mengambil masa sekurang kurangnya sehari untuk selesaikan. Aktiviti penyelenggaraan ini penting untuk mencegah pokok bertambah rosak dan diserang penyakit. 

Lepas siap aktiviti ni, malam nanti kalau hari tak hujan bolehlah sembur pencegah serangga n kulat. Harap harap hari tak hujanlah. Dibawah adalah keadaan pokok di kebun mini saya sebelum penyelengaraan.





Jumaat, 1 November 2019

Pokok Cili Tidak Sihat.

Salam semua, 

Malam ini hati berasa sedih sekali bila petang tadi menjenguk pokok cili di kebun dalam keadaan yang tidak sihat. Malam semalam dah sembur pencegah serangga dan penyakit. Lepas saja menyembur, tiba-tiba pula hujan turun dengan selebat lebatnya.

Dugaan betullah musim monsun ni. Memang susah nak berkerja time ni. Apalah nasib pokok cili ku nanti ni. Sebap pagi tadi ada juga nampak anak pokok yang dah kena serangan. Tapi nak buat macam mana kan, kita dh cuba buat langkah pencegahan. Lagipun memang kita tidak boleh lari dari keadaan yang macam sekarang.

Apapun doakan sahaja agar anak pokok cili tu kuat dan dapat membesar dengan sihat. Nak jaga pokok cili ni bukan senang, kita kena jaga macam baby juga...kena sentiasa belai-belai, manja-manja, bercakap-cakap baru boleh tumbuh dengan sihat.

Kalau nak tengok inilah keadaan pokok cili saya sekarang. Sedih tak? Lepas ni kena study balik kenapa anak pokok cili saya ni pucuknya menjadi hijau muda.


Ini Pokok Cili Solok




Anak pokok cili padi yang bermasalah