Sayur sawi sering digunakan dalam pelbagai masakan seperti tumisan, sup, dan meehoon. Tetapi kadang kala kita keliru untuk memilih mana satu sayur sawi yang sesuai dan sepadan dengan menu masakan tersebut. Untuk mereka yang baru mengenal sayur sawi, di bawah disertakan jenis dan kegunaaan sayur sawi tersebut. Sayur Sawi terbahagi kepada 5 jenis iaitu Sawi Hijau, Sawi Jepun (Pak Choy), Sawi Putih, Sawi Bunga dan Sawi Pahit (Kai Choy)

Sawi Putih: Sawi putih boleh digunakan dalam pelbagai masakan terutamanya masakan tumis dan masak lemak dan juga sebagai bahan utama dalam kimchi. Ia sesuai untuk hidangan ringkas seperti sawi putih tumis bawang putih atau tumis kicap, mahupun hidangan yang lebih kompleks seperti masakan korea.
Sawi Hijau: Sawi Hujau boleh digunakan dalam pelbagai masakan seperti ditumis bersama bawang putih dan cili, ditambah ke dalam mee, bihun atau kuew tiaw serta boleh juga dicampurkan dalam hidangan sayuran lain. Sayuran ini sesuai untuk hidangan ringkas dan cepat.
Sawi Jepun: Sawi Jepun boleh dimasak dalam pelbagai cara seperti tumis bawang putih, masak sos tiram, atau sebagai bahan tambahan dalam hidangan seperti tahu telur.
Sawi Pahit: Sawi pahit juga dikenali sebagai Kai Choy. Boleh digunakan dalam masakan Asia seperti ditumis bersama ikan bilis dan ayam, dibuat sup atau dijadikan jeruk (kasam).Rasa pahitnya yang unik sesuai dipadankan dengan bahan-bahan seperti bawang putih, bawang merah,dan ikan bilis untuk menghasilkan hidangan yang seimbang.
Sawi Bunga: Sawi bunga boleh dimasak dengan mudah seperti dicelur dan ditumis bersama bawang putih serta sos tiram atau digoreng bersama bahan lain untuk hidangan yang lazat. Ia boleh disajikan sebagai hidangan sayuran sampingan sama ada dengan kuah yang pekat atau hanya digoreng hingga layu.