Jumaat, 20 Disember 2019

Peladang kesal cili Vietnam dominasi pasaran Malaysia



Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengumumkan tiada lagi pengimportan cili merah dari Vietnam sehingga hujung tahun ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Sebuah pertubuhan peladang menyuarakan rasa kesal terhadap sikap sesetengah pihak yang bertindak mengimport cili luar negara secara besar-besaran sehingga menjejaskan pendapatan petani tempatan.
Ahli Jemaah Pengarah (Peladang Muda) Pertubuhan Peladang Negeri Selangor, Izzat Lesly berkata situasi ini boleh membunuh peladang cili terutamanya golongan petani muda yang semakin giat membangunkan industri pertanian di negara ini.
Katanya, harga cili borong jatuh hampir setiap hari sehingga RM2.50 sekilo disebabkan berlakunya lambakan cili tempatan.
“Kejadian seperti ini telah berlaku beberapa kali dan kami khuatir dan risau ia akan merosakkan pasaran cili terutama kepada peladang-peladang,” katanya ketika dihubungi FMT.
Julai lalu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin mengumumkan tiada lagi pengimportan cili merah dari Vietnam sehingga hujung tahun ini.
Beliau dilaporkan berkata, kementerian itu melalui Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Pemeriksaan Malaysia (Maqis) sentiasa melakukan pemantauan berterusan dan pemeriksaan yang lebih teliti bagi sebarang produk pertanian, khususnya dari Vietnam.
Pengusaha kebun sayuran, Aliah Ali Musa berkata hasil tinjauannya bersama pemilik kebun yang lain mendapati masih terdapat beberapa pasar raya menjual cili merah dari Vietnam.
“Macam mana boleh lepas cili import Vietnam? Kadar racun masih tinggi.
“Kerajaan sudah sekat tapi masih ada yang jual lagi,” katanya sambil menunjukkan beberapa keping gambar jualan cili tersebut di pasaraya tempatan dengan harga yang rendah.
Mengakui harga jualan cili keluaran tempatan lebih tinggi berbanding sayuran import, Aliah menegaskan tanaman cili tempatan menggunakan baja organik bagi memastikan kualiti dan jaminan keselamatan pengguna.
Aliah juga berkata pemain utama industri pertanian tempatan adalah kecil, bagaimanapun mereka tidak dilindungi kerajaan dan agensi berkaitan.
“Pekebun semua tengah resah, tiada sesiapa pun dari kementerian boleh bantu kami.
“Dari dulu sampai sekarang, tak habis-habis isu permit import (AP) berleluasa,” katanya.
Seorang petugas Maqis yang enggan dinamakan mendakwa lori yang membawa masuk hasil pertanian dari Vietnam berjaya lolos ke dalam negara ini.
Katanya, kebanyakan produk pertanian seperti cili dan sayur-sayuran lain yang dibawa masuk itu boleh didapati di pasar borong, terutama Pasar Borong Selayang.
“Sejak bila embargo cili Vietnam kena tarik balik?
“Ada juga cili-cili ini (dari Vietnam) dapat masuk dari negara jiran, Thailand,” katanya kepada FMT.
Apabila ditanya bagaimana lori mengangkut cili tersebut boleh melepasi kawasan pemeriksaan Maqis, katanya dia tidak pasti kerana tidak bertugas di bahagian pemeriksaan dan kawalan.
Bagaimanapun, katanya, dia mengetahui tentang perkara itu selepas dimaklumkan kumpulan pekebun dan pemborong di pasar besar yang mengenalinya.
“Mereka hubungi saya dan mengadu tentang perkara ini.”
FMT sedang mendapatkan maklum balas Kementerian Pertanian dan Asas Tani berhubung perkara ini.

Buah Cili terkena Serangan Lalat Buah

Hari ini bermulalah aktiviti mengutip buah cili yang rosak akibat serangan Lalat Buah. Maklumlah cuaca yang tidak menentu (hampir 2 minggu hujan) sepanjang musim tengkujuh ini menyebabkan pokok cili mudah diserang Hama Lalat Buah. Bila dikumpul, terdapat banyak buah cili yang tekena serangan Lalat Buah ini. (Lihat Gambar 1). 

Di bawah ini saya ceritakan serba sedikit/ ringkasan tentang Lalat Buah hasil daripada sumber/bacaan rujukan. 

Lalat Buah (Fruit Fly) merupakan sejenis serangga perosak banyak tanaman seperti buah-buahan dan sayur-sayuran yang kesannya menyebabkan kerugian kepada para petani. Lalat Buah lazimnya akan aktif pada waktu pagi antara 8-10 pagi dan pada waktu petang antara pukul 5-7 petang bergantung kepada keadaan cuaca. Lalat buah menyerang dengan menyegat atau menyutik telur pada buah (Gambar 2). 

Kebiasannya serangan lalat buah terjadi pada buah cili yang masih hijau (muda). Gejala boleh dilihat pada tangkai buah, yang mana hujug buah ataupun bahagian tengah buah cili yang masih muda menguning (Gambar 3). Antara tanda serangan pada buah ialah buah kelihatan lebam, lembik dan berair. Jika diamati pada fizikal buah cili akan terdapat kesan seperti tusukan jarum pada bahagian luar buah.  

Cara mengatasi masalah ini, adalah dengan menyembur racun kulat secara rutin atau secara berjadual mengikut dos yang ditetapkan.

Di Anjel Agro Farm, selepas selesai aktiviti mengutip buah cili yang rosak, kebiasannya semburan racun kulat dilakukan pada waktu malam sekitar 7.00 petang dan cuaca tidak hujan. Dengan semburan ini, diharapkan pokok cili akan kembali sihat dan dijauhi dari serangan Lalat Buah ini.

Gambar 1

Gambar 2

Gambar 3

Bahagian dalam akibat serangan Lalat Buah


Sabtu, 30 November 2019

Anjel Farm Kuching Tahun 2018 & 2019

Syukur, banyak perubahan telah dilakukan ke atas Anjel Farm Kuching dari tahun 2018 ke tahun 2019. Berkat kesabaran dan kesungguhan dalam dunia perkebunan, akhirnya membuahkan hasil terutamanya pada tanaman pokok cili. Walaupun jumlah hanya 120 pokok tahun 2019, namun hasil yang diperolehi amat memuaskan dan ianya di luar jangkaan. Pelanggan pun semakin bertambah. 

Bila difikir balik, banyak cabaran dan rintangan telah dilalui sejak tahun tahun 2018, bermula daripada tiada pengalaman dan pengetahuan tentang hal-hal perkebunan, akhirnya banyak ilmu telah dipelajari sepanjang mengusahakan kebun kecil ini. 

Antara cabaran dan rintangan yang telah dihadapi ialah: Apabila tanaman diserang penyakit dan kita perlu memikiran cara untuk selesaikannya. Begitu juga apabila musim hujan/ribut datang melanda, sesetengah pokok cili terutamanaya akan tumbang disebabkan oleh sokongan pada pokok tidak kuat.  Anjel Farm Kuching juga tidak mempunyai peralatan automatik, semua dikendalikan secara manual dan keadaan ini amat memenatkan dari segi fizikal untuk sistem pembajaan dan air. Walaupun banyak cabaran dan rintangan datang melanda, sikap sabar dan tidak mudah berputus asa perlu teguh dalam diri sendiri. 

Oleh itu, diharapkan pada tahun depan (2020) Anjel Farm Kuching dapat beralih ke tahap/ teknologi yang lebih tinggi bagi memudahkan lagi aktiviti perkebunan. Sekian.